Product description
SEJARAH & SALASILAH SYAIKH JUMADIL KUBRA (PATRIAK ULAMA, WALIYULLAH & RAJA-RAJA NUSANTARA) | SUATU PENELITIAN SEMULA
CHINA, ZURIAT RASULULLAH ﷺ DAN SALASILAH SYEIKH JUMADIL KUBRA
Pada tahun 1219-1221, tentera Mongol di bawah pimpinan Genghiz Khan telah membuat serangan besar-besaran ke atas Daulah Khwarezmia (di Iran dan Asia Tengah moden) dengan meluluh lantakan masjid-masjid, pusat-pusat pengajian, pusat-pusat perdagangan dan pusat-pusat kebudayaan Islam. Belakangan, cucunya yang bernama Kublai Khan pula telah menggabungkan Mongolia dan sebahagian besar Asia Tengah ke dalam kerajaannya, termasuk Bukhara dan Samarkand, yang dikenali sebagai Ilkhanate.
Kublai Khan selanjutnya membuat ekspansi besar-besaran di Tiongkok (China) dan membangunkan Dinasti Yuan dalam tahun 1271. Bagaimanapun, disebabkan orang-orang Mongol hanya pandai menjarah bangsa-bangsa, termasuk daulah-daulah Islamiyyah, namun tidak tahu membangunkan serta menguruskan tamadun dan budaya, kerana turun temurun cara hidup mereka bersifat nomadik, maka mereka mengambil pegawai-pegawai yang berkemahiran dari Bukhara dan Samarkand untuk membangunkan wilayah Tiongkok yang luas. Kebetulan Kota Bukhara dan Samarkand pada masa itu tersohor sebagai antara pusat tamadun dan kebudayaan Islam yang terunggul di dunia, dan menempatkan ramai alim-ulama termasuk keturunan Rasulullah ﷺ .
Salah seorang pegawai yang diambil dari Bukhara dalah Sayyid al-Ajall Syamsuddin Omar, seorang bangsawan muda dari keturunan Rasulullah ﷺ yang ayahandanya pernah menjadi pemuka bagi wilayah Bukhara tersebut. Sayyid al-Ajall dilantik sebagai pegawai logistik dalam tentera Mongol, kemudian menjadi bendahari, dan akhirnya dilantik sebagai gabenor pertama bagi salah sebuah wilayah China, iaitu Yunnan di Tiongkok.
Tercatat dalam pelbagai sumber sejarah negeri China yang menjulang ketokohan serta keunggulan kepimpinan Sayyid al-Ajall Syamsuddin Omar, kerana berhasil membangunkan tamadun dan kebudayaan Yunnan sehingga maju, dengan berteraskan nilai-nilai Islam.
Dibangunkan komuniti Islam yang besar di sana, yang dikenali sebagai kaum Hui. Malahan beliau juga bertanggungjawab merapatkan penduduk berbilang etnik dan agama di bawah pemerintahan Dinasti Yuan, sehingga wujud perpaduan dan keharmonian diantara kaum.
Hasil daripada perkahwinan Sayyid al-Ajall Syamsuddin Omar dengan orang tempatan telah melahirkan ramai keturunan yang mengikuti jejak langkahnya dalam ketokohan dan keunggulan. Antara mereka ada yang menjadi gabenor-gabenor di pelbagai wilayah, komander tentera, menteri-menteri, ahli-ahli akademik, alim-ulama dan imam-imam masjid. Pada masa inilah, Kublai Khan telah mengambil ramai umat Islam menjadi jeneral tentera, Menteri Perang dan Menteri Kewangan, malahan 8 dari 12 gabenor wilayah mereka adalah orang Islam.
Suatu sumber menyebut “Keturunan Sayyid al-Ajall memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Yunnan, selatan China dan menyebarkannya di bahagian barat dan wilayah-wilayah lain dalam jajahan China.” Malahan pada zamannya, satu sumber menyebut “ Dimana-mana sahajapun dalam Dinasti Yuan, wujud orang-orang Islam di bawah bumbung langitnya’…!
Tidak hairanlah wujud sumber yang mengatakan bahawa pendiri Dinasti Ming , iaitu Maharaja Chu Yuan Chang telah menganut agama Islam dan ratunya Maharani Ma Hoe adalah seorang muslimah (dalam tahun 1368, beliau pernah menulis 100 bait puisi memuji Rasulullah ﷺ yang diabadikan di beberapa buah masjid di Nanjing, China) , kerana dalam posisi sebagai pemuka-pemuka masyarakat di Tiongkok, keluarga Sayyid al-Ajall Syamsuddin tetap terus berperanan dan berpengaruh dalam dakwah Islamiyyah, selepas berakhirnya Dinasti Yuan di China dan digantikan dengan Dinasti Ming yang gemilang. Jangan lupa pada masa Dinasti Ming juga berlaku perkahwinan Sultan Mansur Shah Melaka dengan Puteri Hang Li Po...
Dapatan baru berkaitan salasilah Sayyid Jumadil Kubra mengaitkan beliau sebagai salah seorang cicit kepada Sayyid al-Ajall Syamsuddin Omar. Ayahandanya Sayyid Hussain adalah putera kepada gabenor Yunnan yang juga masyur, iaitu Sayyid Nasruddin bin Sayyid al Ajall Syamsuddin Omar. Beliau dipercayai telah berkahwin dengan seorang wanita Champa yang waktu itu adalah sebahagian daripada wilayah Dinasti Yuan. Daripada perkahwinan ini telah melahirkan Syakh Jumadil Kubra, yang belakangan masyur sebagai induk kepada ramai tokoh ulama, waliyullah dan raja-raja di Nusantara termasuk anggota WALI SONGO.
Syaikh Jumadil Kubra juga mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Laksamana Cheng Ho yang masyur, kedua-dua tokoh hebat ini adalah dari titisan Sayyid al-Ajall Syamsuddin Omar.