Bagi menjayakan misi peradaban (khilafah), Allah telah memberikan manusia dengan pelbagai kelebihan dan kemampuan yang tidak diberikan kepada makhluk lain, sebagai alat untuk membangunkan peradaban. Antara alat tersebut adalah akal dan wahyu. Akal digunakan untuk meneroka ilmu, sains dan teknologi untuk memajukan kehidupan. Akal yang sejahtera akan mampu menghurai sunnatullah yang ada dalam dunia ini, untuk dijadikan panduan dalam membina peradaban. Wahyu pula menggagaskan ilmu-ilmu baharu yang berkait dengan ketuhanan dan perkara-perkara ghaib untuk memandu manusia dalam membina peradaban.
Siri Tadabbur Ayat al-Quran Membangun Peradaban adalah salah satu usaha Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR) untuk memberikan input mengenai risalah peradaban Islam daripada Al-Quran. Edisi kemaskini 2024 kali ini telah ditukar daripada tajuk Tadabbur 30 Ayat al-Quran Membangun Peradaban Islam kepada tema khusus iaitu Benih Peradaban.