Buku Peranan Intelektual ialah sebuah kumpulan yang mengandungi empat buah karangan, oleh empat orang tokoh terkenal, tentang intelektual dan peranannya. Mereka ialah: Usman Awang, seorang sasterawan Malaysia ternama, terutama kerana sajak-sajaknya yang mudah, indah akan tetapi sangat berisi; Pramoedya Ananta Toer, pejuang dan novelis agung Indonesia yang pernah ditahan selama 10 tahun di Pulau Buru tanpa bicara; Rustam A. Sani, ahli akademik serta pengkritik sosial yang pernah diiktiraf sebagai intelek awam penting di Malaysia; dan Ahmat Adam, juga seorang ahli akademik, yang mengkhusus dalam bidang sejarah. Karangan-karangan ini sudah agak lama, kesemuanya diselesaikan sebelum terbitnya sinar abad ke-21. Tulisan Usman "Peranan Intelektual" berdasarkan sebuah ucapannya kepada pelajar-pelajar Malaysia dan Singapura di London, yang disampaikan pada 25 Mei 1970. Karangan Pramoedya, bertajuk "Sikap dan Peranan Kaum Intelektual di Dunia Ketiga" merupakan petikan dari teks ceramahnya di Universitas Indonesia atas undangan Senat Mahasiswa universiti itu; malang tarikhnya tidak tercatat. Agak signifikan kedua-dua penulis ini berucap tentang peranan intelektual di hadapan para mahasiswa, kerana bukankah mahasiswa sering dianggap sebagai satu golongan intelektual yang penting? Sebagai ahli akademik, Rustam sering menulis bagi persidangan ataupun jurnal ilmu. Esei Rustam "Tradisi Intelektual Melayu dan Pembentukan Bangsa Malaysia: Beberapa Persoalan Sosial” berasal sebagai salah sebuah kertas yang diterbitkan dalam Kertas Kadangkala Bil. 5 pada tahun 1989. Akan artikel Ahmat Adam pula, yang bertajuk 'Sang Intelektual di Kawasan Nusantara: Suatu Tinjauan Historis”, ia diterbitkan juga dalam kertas kadangkala Bil. 15, bersama kertas Rustam.