Product description
Novel 'Bila Ilmu Satu Anugerah' atau singkatannya BISA ini merupakan catatan perjalanan pengalaman yang dilalui sendiri oleh Pakcik Man semenjak berumur 7 tahun.
Pada awalnya Pakcik Man sendiri tidak mengetahui kenapa beliau selalu diganggu oleh makhluk yang menakutkan tetapi akhirnya beliau sedar sesungguhnya semua itu adalah pembuka jalan untuk ilmu yang beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk memilikinya
“Man, pasang lampu picit,” Tok arahkan aku.
Cepat-cepat aku nyalakan. Obor dah hampir padam. Kami masih dalam keadaan berundur. Lama juga kami berjalan cara berundur. Tiba-tiba muncul satu lagi lembaga di hadapan kami. Dahlah satu ada di atas dan di bawah ada satu lagi. Aku suluh lampu picit berselang seli antara dua lembaga itu. Lembaga yang kedua ini lagi menyeramkan. Agak besar dan tinggi. Kaki tak jejak ke tanah.
Salakan Suli makin dekat aku dengar. Rupanya kami sudah hampir sampai kat muka hutan.
“Man, kau lari keluar. Cepat...!” Tok aku menjerit kat aku. Cepat-cepat aku lari tapi kemudian aku berhenti sebab aku teringat Tok tak ada lampu picit. Aku berpatah balik.
“Cepat Tok!!” Aku jerit kat Tok. Tok berjalan agak laju berpandukan suluhan lampu picit aku.
“Cepat naik rumah...!” Tok jerit pada aku. Aku berlari sambil menoleh ke belakang takut Tok ketinggalan. Kami cepat naik ke rumah. Tok tutup pintu.
“Pasang pelita,” arah Tok kat aku. Aku ambil mancis yang ada pada aku dan cuba nyalakan pelita tapi satu pelita sahaja yang menyala.
“Minyak tak ada Tok,” kata aku.
“Nun kat dalam tin belakang pintu,” jawab Tok.
Aku ambil dan penuhkan pelita serta nyalakan. Baru cerah sedikit. Aku baru nak melangkah ke bahagian tengah untuk letakkan pelita, tiba-tiba bunyi bising atas atap dapur dan atap bahagian tengah macam yang aku dengar malam tadi.
“Syaitan ni dah main kasar,” aku dengar Tok aku membebel. Tok aku ambil lampu picit dan pelita.
“Kau tunggu dalam rumah, jangan keluar. Nanti tutup pintu,” pesan Tok kat aku.
Tok buka pintu dan turun. Aku cepat-cepat menutup pintu. Di luar tiba-tiba jadi sunyi. Aku risaukan Tok. Tok seorang diri di tanah tapi lembaga itu ada dua. Tak boleh jadi ni. Aku cucu lelaki, tak kan aku nak biarkan Tok seorang diri. Aku nekad nak turun walaupun aku takut.
Aku dah pegang pelita dan mula nak melangkah turun tiba-tiba aku mendengar Tok menjerit, “Hitam, cepat tolong aku!”
- Petikan dari BISA Jilid 1