Suara: Nusa dalam Filem-filem Seniman Agung mencerap pemikiran P. Ramlee menerusi beberapa buah filem arahannya yang menyerlahkan sisinya sebagai seorang pejuang rakyat dengan berteraskan suara nurani dan derita rakyat terbanyak. Melalui huraian dan tafsiran kritis berdasarkan beberapa filem P. Ramlee, penulis mengupas beberapa aspek cerita, subjek, naratif, watak dan perwatakan, dialog dan lakonan serta elemen-elemen dalam alam Melayu yang jarang diteroka atau diperkatakan sebelum ini oleh para pengkaji filem Melayu. Dengan mengambil contoh Sejarah Melayu, penulis turut memperlihatkan perhubungan P. Ramlee dengan sejarah, sastera dan tamadun Melayu, sekaligus ia menjadi satu rakaman tentang keperibadian orang-orang Melayu dari segi adat, adab, kelakuan, perasaan dan pegangan yang dipaparkan dalam filem.