Pemerintahannya mungkin hanya beberapa bulan. Usianya juga tidak melambangkan kematangannya. Dilahirkan berdarah biru, akhirnya dijual, dilelong tanpa harga, tidak bernama, jauh sekali berbapa dan beribu. Qutuz, satu gelaran hina buat dirinya, namun nama itulah pencorak hidupnya.
Permulaan dan pengakhirannya, tragis. Allah SWT berkehendakkan, beliau dibeli seorang yang tinggi daulat dan darjatnya, Sultan Mesir Dinasti Ayyubiyah yang berjiwa rakyat yang bercita-cita besar. Membesar beliau cukup segala ilmu dunia dan akhirat. Dibaja sehingga akhirnya beliau mampu berdiri sama tinggi dengan panglima perang Mesir yang akhirnya pada usia muda, menaiki takhta Mesir, Sultan Mesir yang keempat daripada Kesultanan Mamluk. Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz, daripada seorang hamba sahaya yang tidak diketahui asal usulnya, melaung semboyan jihad sebaik sahaja ditabalkan, membawa dunia Islam yang berpecah-belah kembali bersatu menjadi satu dalam panji Islam, berjuang dan berjihad ke jalan Allah SWT, mengalahkan satu bangsa yang pada awalnya langsung tidak pernah dikalahkan, Mongol. Beliaulah 'Singa Gurun Ain Jalut', tidak tertewas, penuh disanjung, terus mengaum membelah lautan musuh dengan gagah demi mengembalikan kedaulatan Islam.