Memang benar. Hutan dan gunung sarat dengan segala keindahan, keajaiban dan ketenangan. Mustahil kita tidak terpukau dengan hamparan kehijauan rerumputan dan pepohonan, aroma wangian semula jadi, melodi alam yang saling bersahutan, deruan sungai yang tenang, desiran angin lembut, langit cerah membiru, awan-gemawan putih yang menyeliputi puncak, sinaran matahari terbit dan terbenam. Namun merasai nikmat keindahan ini tidak semudah disangka. Ada cabaran dan rintangan yang perlu ditempuhi dengan kemantapan fizikal, kekuatan minda dan ketabahan jiwa. Namun cabaran ini sebenarnya membawa rahmat kerana ia membuka pintu-pintu luar biasa yang tersembunyi dalam diri dan potensi berkembang menjadi manusia yang lebih baik.