Hud Ukail X Saffa Kirana "Saya tak boleh teruskan pernikahan kita," - HUD UKAIL. Dia tak pernah menyangka bahawa Hud akan meninggalkannya pada hari yang sepatutnya menjadi hari yang paling bahagia buat mereka. Tanpa sebab dan alasan yang jelas, lelaki itu menoreh luka di hatinya sekaligus telah menjatuhkan air muka keluarganya. "Saya akan bencikan awak seumur hidup saya. Saya akan bencikan awak sampai mati," - SAFFA KIRANA. Watak Hud dalam ceritera hidupnya dimatikan. Kenangan bersama Hud dilupus terus dari ingatan. Namun bertahun berlalu, Hud tiba-tiba kembali menagih peluang kedua daripadanya. Tapi, tak mudah untuk dia menerima sementelah luka yang lelaki itu tinggalkan masih belum sembuh sepenuhnya. Kehadiran Aryan yang diperkenalkan sebagai anak angkat Hud membuatkan Saffa dibelenggu seribu satu tanda tanya. Atas sebab apa Hud mengambil anak angkat sedang lelaki itu masih muda dan belum berkahwin? "Teacher Saffa ni mak Ayan ke?" - ARYAN. Saffa semakin tertanya-tanya. Mana perginya keluarga Aryan? Adakah Aryan mempunyai hubung kait dengan peristiwa tiga tahun dulu?