Buku ini cuba memberi satu huraian dan analisis terhadap Dr. Burhanuddin al-Helmy, iaitu scorang tokoh yang banyak disebut, tetapi jarang dikenali secara dekat, terutama oleh generasi hari ini. Kupasan tentang kegiatan politik dan jatuh bangun dalam perjuangannya banyak disebut secara sepintas lalu, atau dibincangkan secara terputus-putus, ada yang mementingkan kegiatannya dalam gerakan kiri dan ada pula yang mengaitkannya dengan kegiatan PAS yang diterajui selepas tahun 1956 sehingga ke akhir hayatnya.
Buku ini melihat Dr. Burhanuddin dalam perspektif yang menyeluruh dan mencantumkan kepingan-kepingan kegiatannya dalam satu tulisan yang menyeluruh. Sebenarnya, riwayat hidup dan kegiatan politik Dr. Burhanuddin sangat menarik. Beliau terdedah kepada gerakan Kaum Muda di Madrasah al-Masyhor di Pulau Pinang, yang diperdalaminya pula di India dan Timur Tengah bersama dengan gerakan menentang penjajah yang sedang rancak di tempat-tempat tersebut; sehingga kesedaran itu turut membalut jiwa raganya; lalu beliau menjadi penentang British yang tegas dengan menganggotai gerakan kiri, iaitu PKMM yang juga menentang UMNO, sehingga beliau ditangkap pada tahun 1950. Penjara tidak menakutkan beliau untuk terus berjuang menuntut kemerdekaan negara dengan menerajui PAS. Walaupun kemerdekaan telah dicapai pada tahun 1957, beliau tetap gigih menegakkan idea Melayu Raya yang didokongnya selama ini, sehinggalah penjara menjemputnya sekali lagi pada tahun 1964. Semangatnya tetap kuat. Penjara telah memamah usia dan kesihatannya, hinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1969,