Asia Tenggara kuno disatukan oleh Pentas Sunda yang menghubungkan Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan Filipina. Asia Tenggara ketika itu bercantum sebagai satu benua dengan tanah besar Asia dan Pentas Sahul yang menghubungkan Australia. Dengan perairannya yang cetek dan mudah dilalui telah mewujudkan beberapa laluan penghijrahan bebas untuk manusia dan haiwan di tanah besar Asia atau apa yang dikenali pada hari ini sebagai Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara.
Keluasan gugusan ini atau Benua Sunda dihitung dua kali lebih besar daripada Benua India. Laut Champa, Teluk Siam dan Laut Jawa ketika itu kering kontang menjadi dataran pelantar bagi menghubungkan beberapa bahagian benua tersebut. Menurut Oppenheimer, di Benua Sunda inilah bermulanya tamadun manusia yang menyuburkan budaya-budaya hebat di China, India, Mesopotamia, Mesir dan Kepulauan Crete (Greek) kira-kira lebih 6,000 tahun lampau. Malah menurut Prof. Wan Hashim yang dipetik daripada kajian Da Silva, bangsa Melayu itu sudah wujud dan terbentuk pada 15,000 tahun Sebelum Masihi. Maka di sini jelaslah bahawa bangsa Melayu itu bukan baharu tertubuh setelah penjajahan Barat. Atau bangsa Melayu itu hanya berpusat di Selat Melaka seperti yang didakwa oleh Anthony Reid yang sekali gus menolak "Teori Keluar Dari Taiwan" dan "Teori Dari New Guinea" yang menolak sama sekali kewujudan bangsa Melayu sebagai bangsa teras dan hanya sekadar bangsa 'menempel'.