Pokok marigold memerlukan suhu antara 20-25°C, cahaya matahari yang penuh dan disiram selalu tetapi pastikan air tidak bertakung. Ia sesuai ditanam di kawasan tanah yang gembur dan lembap serta mengandungi baja yang mencukupi. Pokok bunga ini dibiakkan melalui biji benih dan akan berbunga kira-kira sebulan setengah selepas bercambah.
Cara menanamnya amat mudah. Taburkan saja biji benih ke atas tanah (atau pasu berisi tanah) dan timbus dengan selapis tanah setebal kira-kira 1/4 inci. Pastikan tanahnya lembap dan agak panas. Biji benih itu akan bercambah selepas beberapa hari. Bila dah tumbuh daun, alihkan ke dalam pasu atau polybag kecil (lebih kurang 3 inci luas mulutnya) dan letakkan di tempat teduh selama beberapa hari sehingga anak pokoknya telah eloh tumbuhnya. Lepas itu, bolehlah ditanam terus ke atas tanah atau ke dalam pasu. Pastikan ia mendapat cahaya matahari yang banyak supaya bunganya banyak dan cantik.